Mesyuarat Kerja Kemajuan Kerjaya Dan Kawal Selia Skim Perkhidmatan Psikologi Dan Taklimat GPPIB Bagi Zon Utara Tahun 2024.
YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman ketika menyampaikan ucapan di mesyuarat kerja berkenaan.
IPOH, 23 Oktober 2024 - Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman telah menghadiri Mesyuarat Kerja Kemajuan Kerjaya dan Kawal Selia Skim Pegawai Psikologi dan Penolong Pegawai Psikologi serta Taklimat Garis Panduan Pengurusan Intervensi Bersepadu (GPPIB) dan Training of Trainer (TOT) Pelan Rawatan Kecelaruan Kemurungan bagi Zon Utara Tahun 2024 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Mesyuarat yang berlangsung selama dua hari bermula 23 Oktober sehingga 24 Oktober 2024 ini melibatkan seramai 114 orang pegawai psikologi dan penolong pegawai psikologi gunasama persekutuan meliputi negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Objektif mesyuarat ini adalah untuk memberi kefahaman berkaitan hala tuju perkhidmatan psikologi serta melaksanakan kajian beban tugas pegawai menggunakan Workload Indicators of Staffing Need (WISN).
Selain itu, ia bertujuan untuk membimbing cara menguruskan pegawai yang mempunyai permasalahan kecelaruan kemurungan dan memberi pendedahan kepada mereka berkaitan pelan rawatan yang berstruktur dan berasaskan bukti.
Di samping itu, bagi mencapai objektif mesyuarat, pelbagai sesi perkongsian ilmu telah disusun antaranya kawal selia ketua profesion dan taklimat kemajuan kerjaya (pangkalan data), kawal selia berdasarkan huraian kerja, kajian kompleksiti dan beban tugas (WISN), saringan psikologi merangkumi psiko-pendidikan tentang kemurungan, formulasi kes: aplikasi dan kaedah biopsikososial, spiritual dan psikofarmakologi.
Taklimat tersebut akan disampaikan oleh YBrs. Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Puan Khalisah Adibah binti Zainal Abidin; YBrs. Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Perkhidmatan, JPA, Puan Shariana binti Abdul Rahman dan YBrs. Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Psikologi, JPA, Dr. Norazura binti Ahmad.
Hadir sama, YBrs. Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Encik Azraie bin Harun dan YBrs. Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Psikologi, JPA, Dr. Fatimah Hanum binti Mohamad Hajari.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.